Friday 20 September 2013

Tokoh Wayang Kulit

PAK SU GHANI PEWARIS WAYANG KULIT DALANG

Salah seorang tok dalang yang terlibat sebagai anak wayang sejak tahun 1941 hingga kini ialah Encik Ghani bin Jambul,70 tahun yang kini menetap di Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh , Kelantan. Darah seni yang mengalir dalam tubuh beliau diwarisi secara turun-temurun. Encik Ghani atau lebih dikenali  sebagai Pak Su Ghani yang mula bermain wayang kilit sejak berumur 12 tahun lagi. Keluarganya berasal dari Bukit Marak , Bachok, Kelantan. Moyangnya , Tok Haji Amat merupakan tok mudim dan datuknya pula seorang pendekar raja yang bekerja di istana ketika itu manakala ayah beliau sendiri, Jambul, seorang tok dalang terkenal yang mempunyai ramai anak buah di seluruh Kelantan. Selain Pak Su Ghani ,anaknya yang turut melibatkan diri dengan wayang kulit ialah Awang Hamat.
Sepanjang penglibatan Pak Su Ghani dalam kerja ‘pendalangan’ ,beliau banyak sekali mempersembahkan pertunjukan sama ada di dalam atau luar negara. Pada tahun 1950-an lagi beliau telah diundang ke Genting Highland untuk bermain wayang kulit disana. Beliau kemudiannya telah mempersembahkan permainan wayang kulit di Australia pada tahun 1984 bersama rombongan penari terkenal ,Encik Azani Ahmad. Setahun selepas itu,Pak Su Ghani berlepas ke Hong Kong untuk mempamerkan kesenian tradisional di sana. Jemputan ke Amerika Syarikat pula dipenuhi beliau pada tahun 1990 tetapi tidak sempat dipersembahkan kerana kekangan masa. Pak Su Ghani juga mendapat tawaran untuk bermain wayang kulit di seluruh negara Jepun pada tahun 1991. Kali terakhir beliau ke luar negara pada tahun 1993 iaitu ke Sepanyol bagi mempersembahkan tradisi wayang kulit di sana.
Berdasarkan pengalaman luas yang ditimba sama ada di dalam atau di luar  negara, Pak Su Ghani kurang setuju wayang kulit diharamkan persembahannya di Kelantan . Beliau amat berharap agar kerajaan negeri mengkaji semula larangan tersebut demi kepentingan kesenian.
Menyentuh tentang upacara ritualsebelum memulakan persembahan atauacara membuka panggung, Pak Su Ghani berkata, “ Puja- memuja sebelum membuka panggung atau mengasapkan patung tidak lagi Pak Su lakukan. Pak Su hanya membaca ayat- ayat suci Al- Quran dan membaca sedikit doa sebelum bermain wayang,” ujar beliau bagi membetulkan kekeliruan sesetengah pihak terhadap amalan karut yang kini banyak disesuaikan dengan kehendak Islam.
Beliau juga turut menjelaskan peranan tok dalang dalam masyarakat. Tok dalang berperanan besar untuk memajukan pemikiran masyarakat kerana selaku tok dalang, dia sepatutnya mengetahui perkembangan semasa untuk dikaitkan dalam cerita yang dipersembahkan. Tok dalang juga berfungsi sebagai penasihat kepada penonton. Antara cerita- cerita yang sering dipertuturkan semasa mengadakan persembahan ialah berkaitan dengan Hikayat Sejarah Nabi- Nabi, Cerita Raja- Raja Melayu serta cerita Ramayana atau Mahabrata.
Pak Su Ghani boleh dikatakan seorang yang bertaraf profesional dalam kerja- kerja ‘pendalangan’ di Kelantan. Ini kerana beliau melakukan kerja sebagai tok dalang sepenuh masa. Beliau berkata, “ Pak Su bermain wayang sejak kecil hingga kini dan mata pencarian Pak Su adalah semata- mata denga bermain wayang. Selain itu Pak Su juga ada menyediakan keperluan- keperluan peralatan lengkap untuk sesuatu persembahan wayang kulit. Pak Su memiliki peralatan yang boleh menampung dua pasukan. Ada juga tok dalang yang tidak memiliki peralatan datang mengambilnya daripada Pak Su. Pak Su ada menjual patung- patung wayang kulit dan menyediakan peralatan lengkap bagi sesiapa yang berminat membelinya,” ujar Pak Su Ghani lagi.
Di ambang usia 70-an, Pak Su masih lagi bertenaga dan mampu mengadakan persembahan. Walau bagaimanapun penglibatan Pak Su yang begitu lama dalam seni wayang kulit kurang mendapat perhatian dan sumbangan yang sewajarnya. Tidak ada lagi tok dalang di Kelantan yang seangkatan beliau masih meneruskan kerja- kerja ‘pendalangan’ selain Dollah Baju Merah. Generasi lebih muda yang melibatkan diri ialah Saupi Pasir Akar. Kekuatan dan kemahiran yang dimiliki Pak Su Ghani terserlah kerana mewarisi seni tersebut sejak turun temurun.
Sebagai mengenal jasa dan sumbangan Pak Su Ghani dalam bidang ‘pendalangan’, sewajarnya beliau dibela dengan memberi anugerah yang sepadan dengan bakti yang dicurahkan. Cara lain yang boleh dilakukan untuk membantu beliau ialah dengan mengambil beliau sebagai penceramah atau Pensyarah Tamu di mana- mana institusi pengajian tinggi di Malaysia kerana amat rugu jika ilmu yang dimiliki dalam kerja- kerja seni ini tidak diturunkan kepada generasi muda terutama yang bergiat dalam bidang seni.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...