Wayang Kulit merupakan
sejenis teater tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Asia
Tenggara sebelum kedatangan pelbagai seni hiburan dan persembahan moden
yang kebanyakannya berasaskan media elektronik. Ia merupakan satu
bentuk persembahan teater yang menggunakan prinsip cahaya dan bayang.
Bayang-bayang daripada patung-patung kulit yang terdiri daripada
pelbagai watak methologi dan khayalan dimainkan oleh seorang Dalang.
Persembahan wayang kulit selalunya diiringi oleh satu kumpulan muzik
paluan atau gamelan dan juga alat tiupan (serunai) atau alat bertali
(rebab). Wayang Kulit dipersembahkan
dalam upacara atau perayaan tertentu. Fungsi Wayang Kulit ini adalah
sebagai medium hiburan dan kadangkala dikaitkan dengan unsur ritual yang
terdapat dalam sesuatu masyarakat. Seni persembahan ini tersebar dan
membentuk satu identiti tersendiri dalam sesebuah masyarakat.
Asal usul
wayang kulit telah banyak diperkatakan sebelum ini. Rata-rata
berpendapat bahawa wayang kulit telah wujud di Indonesia sejak beberapa
kurun lalu dan dibawa dari Indonesia serentak dengan proses penyebaran
agama Hindu. Pendapat ini sukar dibuktikan sama ada benar atau tidak.
Kalau pun benar, kebenaran ini mungkin dalam aspek-aspek tertentu
sahaja. Tidak terdapat sebarang persamaan baik dari segi falsafah mahu
pun dalam cara persembahan antara wayang kulit Jawa atau Melayu dengan
tradisi teater India. Bukti yang konkrit pun tidak pernah dicatat secara
pasti. Catatan yang ditemui hanya berupa pandangan dan pendapat yang
diasaskan pada pergerakan sejarah semata-mata. Namun demikian cerita
wayang kulit di Pulau Jawa, Bali atau Malaysia semuanya berasaskan pada
dua hikayat Dewa-dewa, iaitu Mahabharata dan Ramayana. Begitu juga dengan persamaan istilah seperti wayang, dalang, panggung dan kelir.
Pengertian istilah wayang
dalam bahasa Melayu ialah bayang-bayang yang bergerak ke sana ke mari.
Dalang membawa erti orang yang melakukan persembahan wayang. Panggung
pula membawa pengertian tempat berbumbung yang disekelilingnya tertutup
dan digunakan untuk pertunjukan wayang.
Selain di Jawa dan Malaysia,
wayang kulit juga terdapat di Bali, Kemboja dan China. Nama yang diberi
kepada wayang kulit ini berbeza mengikut budaya dan bahasa setempat,
walaupun fungsi dan asas persembahannya adalah sama. Di Thailand, wayang
kulit dikenali sebagai Nang Yai, di Kemboja disebut dengan nama Nang
Sbek manakal di Jawa digelar Wayang Purwa.
Wayang Kulit Melayu
dipercayai dibawa dari Tanah Jawa ke Kemboja oleh seorang putera raja
Kemboja yang bergelar Jaya Verman II. Beliau amat tertarik kepada
falsafah dan persembahan wayang kulit lalu membawanya ke Kemboja dalam
usaha untuk menyatukan kembali negaranya. Beliua berusaha mengubahsuai,
merekacipta semula dan menghasilkan wayang kulit Kemboja. Keseluruhan
rupabentuk dan cara persembahan wayang kulit kemboja telah berubah dan
amat berbeza daripada wayang kulit Jawa. Semua watak dan cerita wayang
kulit Kemboja diasaskan kepada cerita Ramayana. Kemungkinan di sinilah
bermulanya asas bagi wayang kulit Siam dan wayang kulit Melayu
kemudiannya.
Walaupun
terdapat beberapa persamaan dari segi cerita dan rupabentuk patung
wayang, namun banyak yang telah diubahsuai mengikut budaya dan selera
masyarakat tempatan. Begitu juga dengan patung wayang kulit yang telah
diubahsuai. Patung wayang Jawa lebih ramping dan lampai berbanding
dengan wayang Melayu yang kelihatan lebih gagah dan tegap. Kedua-dua
tangan patung wayang kulit Jawa dapat digerakkan, tetapi patung wayang
Melayu hanya dapat digerakkan sebelah tangannya sahaja. Begitu juga
dengan patung wayang Kemboja yang kelihatan lebih besar dan memerlukan
beberapa orang dalang untuk membantu dalam persembahan. Dapat dikatakan
bahawa setiap wayang kulit dari pelbagai negara mempunyai ciri dan
fungsi tersendiri. Kemungkinan inilah yang menyebabkan wayang kulit
menjadi satu persembahan tetater tradisional di kebanyakan negara Asia
Tenggara.
Dipercayai tradisi persembahan
wayang kulit bermula sejak lebih 3000 tahun di Indonesia. Di
Semenanjung Malaysia pula wayang kulit dianggarkan bermula sejak
beberapa ratus tahun lalu. Kita mungkin tertanya-tanya, kenapakah wayang
kulit masih kekal hingga sekarang?. Sebabnya ialah wayang kulit
mempunyai nilai-nilai yang diperlukan oelh kehidupan manusia, baik dari
segi material mahupun spiritual. Wayang kulit didapati mampu
menggerakkan hati seseorang. Semakin tinggi jiwa seseorang pendukung,
semakin tinggi pula perhatiannya terhadap wayang kulit. Semakin mendalam
pengkajian dan pemahaman terhadapnya semakin takjub pula dirasakan.
Di awal abad ke-9,
wayang kulit Melayu yang berasaskan cerita Ramayana kerap dimainkan di
Patani, Kelantan, Kedah dan Perak. Dalang wayang kulit dari utara
Semenanjung mengembara dan mengadakan persembahan di Pahang, Selangor,
Negeri Sembilan dan di kawasan-kawasan pantai timur negeri Johor. Pada
pertengahan abad ke-9, sebilangan besar dalang wayang kulit hidup subur
dan telah sekian lama kukuh bertapak menjadi tradisi dan budaya dalam
masyarakat Melayu Kelantan. Falsafah yang dibawa dalam persembahan
wayang kulit dipercayai diasaskan pada pemahaman agama Islam yang
mendalam.
Peranan "Dalang"
sebagai dukun atau bomoh dalam masyarakat merupakan salah satu asas
pengekalan tradisi ini di Kelantan. Dipercayai kekuatan spiritual dalam
penyelenggaraan wayang kulit dapat menimbulkan malapetaka atau bahaya.
Dialog persembahan wayang kulit juga telah diadun dan diubahsuai ke
dalam longhat setempat (longhat Kelantan dan Patani). Kemungkinan inilah
juga sebabnya persembahan wayang kulit tidak kekal dan sesetengahnya
diubahsuai mengikut kehendak dan selera masyarakat setempat.
Dalam proses perkembangannya
wayang kulit telah banyak melalui perubahan. Setelah melalui pelbagai
zaman, wayang kulit dapat menyesuaikan dirinya secara bebas dan kreatif.
Wayang kulit bermula sebagai alat yang ada kaitannya dengan upacara
penyebaran agama, tetapi kemudiannya digunakan sebagai alat pendidikan
dan penerangan. Pada kesempatan inilah nilai-nilai pendidikan dan
pembangunan keluarga disampaikan. Nilai-nilai pembangunan masyarakat
sebenarnya didasarkan pada hakikat bahawa keluarga menjadi agen
pembentukan masyarakat. Inilah antara faktor mengapa wayang kulit
sehingga kini menjadi salah satu tradisi kesenian negara.
Pada masa dahulu
terdapat dua jenis persembahan wayang kulit di Semenanjung Malaysia,
dan kebiasaannya dimainkan di negeri-negeri Utara Semenanjung yang
bersempadanan dengan negara Siam (Thailand) dan juga Wilayah iam dan
Wayang Jawa. Adunan daripada kedua-dua jenis wayang inilah yang telah
menghasilkan Wayang Kulit Melayu. Wayang Kulit Jawa kini semakin pupus
di Malaysia dan kalau ada pun, hanyalah untuk segelintir masyarakat Jawa
di negeri ini ataupun dimainkan atas kehendak dan naungan para
budayawan tempatan. Biasanya persembahan wayang kulit dipentaskan
sewaktu ada pesta dan keramaian sosial, seperti pesta dan keramaian
selepas menuai padi, di majlis perkahwinan dan berkhatan. Dewasa ini ada
sedikit perbezaan kerana persembahan-persembahan wayang kulit
dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan atau badan-badan kebudayaan
temapatan mahupun oleh badan perniagaan. Jarang sekali lita lihat
individu yang menganjurkan persembahan wayang kulit. Namun demikan,
wayang kulit tetap hidup subur dalam budaya masyarakat Melayu di
Malaysia.
Sebilangan besar dalang
wayang kulit mendiami kawasan-kawasan penanaman padi. Ini bermakna
musim permainan wayang kulit akan bermula sebaik sahaja padi habis
dituai dan akan berlarutan sehingga bermulanya musim hujan. Seseorang
dalang yang terkenal akan sentiasa mendapat jemputan mengadakan
persembahan. Bagi dirinya kerja ini akan dapat mengisi masanya
terutamanya dari bulan Mac hingga Oktober. Terdapat segelintir sahaja
para dalang yang menampung hidup sepenuhnya daripada pendapatan
persembahan wayang kulit. Kebanyakan dalang mempunyai pekerjaan
sampingan, seperti menjadi pesawah ataupun menjadi penghibur dan juga
dukun. Di sinilah para dalang menjadi lambang serta sumber harapan kepada
masyarakat setempat.
No comments:
Post a Comment