Sunday, 22 September 2013

Proses Membuat Patung Wayang Kulit

Pembuatan patung wayang kulit biasanya dibuat oleh Dalang. Ini kerana Dalang ingin mempersembahkan patung wayang kulit mengikut kreativiti yang tersendiri. Seorang dalang perlu mempunyai kreativiti dan kepintaran dalam membuat watak-wataknya sendiri dan setiap watak yang dihasilkan itu seharusnya mempunyai seni reka bentuk yang menarik dan sesuai untuk dipadankan dalam cerita yang ingin dipersembahkan.

Antara proses untuk membuat patung wayang kulit ialah :

1) Kulit lembu dijemur untuk dikeringkan.

Kulit lembu atau kambing yang telah dibersihkan akan direndam ke dalam air campuran garam, lada, lengkuas dan serai untuk beberapa hari dan kemudian dijemur menggunakan pacang di penjurunya.

Setelah dipastikan kulit tersebut telah benar-benar kering dan tidak berbau, bulu-bulu yang terdapat pada kulit yang telah kering itu akan dikikis menggunakan kepingan kaca sehingga bersih.

2) Kulit ditebuk dengan menggunakan lingkaran kertas.

Kertas yang telah siap dilukis dengan wajah dari watak wayang kulit akan ditekapkan ke atas kulit yang telah dibersihkan. Biasanya menggunakan kertas nipis bagi memudahkan menebuk kulit wayang. Di sinilah terletaknya kreativiti dan kewibawaan seorang dalang untuk membentuk patung wayang kulit mengikut watak yang ingin dipersembahkan. Setiap lorekan dan garis lubang yang ditebuk mempunyai fungsinya yang tertentu dan watak-watak yang dihasilkan mempunyai identiti estetika yang tersendiri.

3) Buluh, tali dan pewarna

Buluh sebagai bahan penyadang diraut rapi dan diikat menggunakan tali kepada kulit yang telah siap ditebuk. Tali digunakan untuk membuat gerakan pada bibir, tangan dan lain-lain anggota yang diperlukan pada patung tersebut. Tali ini akan diikat apabila patung tersebut telah siap diwarnakan mengikut watak yang digambarkan melalui cerita-cerita tertentu. Warna yang biasa digunakan ialah dari bahan dye fabrik dan cat air. Kerja-kerja mewarnakan patung wayang kulit ini memerlukan kreativiti, bakat dan kesabaran yang jitu.










No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...