Friday 20 September 2013

Tokoh wayang kulit-Hamzah Awang Amat: Pak Dalang yang Sukar Dicari Ganti

Picture Hamzah Awang Amat sebenarnya merupakan nama yang agak asing pada diri saya. Sememangnya, saya berasa diri ini sangat jahil kerana tidak mengenali tokoh ternama ini. Namun, apabila sepanjang hari membaca beberapa bahan tentang tokoh ini dalam usaha menyiapkan sebuah buku (yang sepatutnya telah lama disiapkan), timbul kekaguman terhadap beliau.
Tokoh kelahiran, Tumpat, Kelantan ini rupa-rupanya seorang dalang yang amat terkenal. Minatnya yang mendalam dalam seni tradisi wayang kulit menyebabkan beliau tidak pernah jemu untuk mempelajari segala-galanya tentang seni tersebut. Walaupun telah berguru dengan beberapa tokoh terkenal dan mempunyai kumpulannya sendiri, iaitu Kumpulan Seri Setia, beliau masih berasakan itu tidak mencukupi. Oleh sebab itu beliau berguru pula dengan Awang Lah Pandak, seorang dalang terkemuka dalam seni wayang kulit tradisi, pada tahun 1962.


Selain menjadi dalang, beliau juga mampu mengukir patung wayang yang diperbuat daripada kulit lembu di samping mencipta alatan seperti serunai, gedombak dan gendang. Kerana kemampuannya itu, beliau turut mendapat tempahan daripada dalang-dalang yang lain. Malah beliau juga sering menjadi pakar rujuk Kementerian Kebudayaan dalam hal-ehwal wayang kulit tradisional. Kepakarannya menyebabkan beliau banyak ke luar negara seperti Eropah, Amerika, Rusia, Hong Kong, dan Burma.
Yang lebih mengagumkan, walaupun hanya menerima pendidikan formal setakat sekolah rendah, Hamzah berjaya membawa teater tradisional ini ke menara gading. Beliau pernah ditawarkan menjadi tenaga pengajar tetap di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1977. Tawaran itu ditolaknya kerana komitmennya dengan seni wayang kulit, tetapi beliau menerima tugas tersebut secara sambilan kerana menyedari kepentingan seni tradisional untuk warga kampus. Dan beliau telah mengajar di universiti itu selama 17 tahun. Beliau juga pernah menjadi pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan. Ramai pelajar peringkat doktor falsafah dari dalam dan luar negara menjadi muridnya.
Perjuangannya untuk menghidupkan kesinambungan seni teater tradisi wayang kulit sebagai khazanah warisan seni negara menyebabkannya dianugerahi gelaran Seniman Negara pertama dalam Anugerah Seni Negara pada tahun 1993 daripada Yang di-Pertuan Agong. Beliau turut diiktiraf sebagai anak Malaysia pertama menerima Hadiah Kebudayaan Asia Fukuoka 2000, Jepun menerusi kategori Hadiah Kesenian dan Kebudayaan. Baginya, “Hadiah ini pada hakikatnya untuk negara Malaysia tercinta dan dalam membangunkan kesenian tradisional, ia perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan penuh perasaan serta bertanggungjawab.”
Pemergiannya ke rahmatullah pada 1 Januari 2001 merupakan satu kehilangan besar kepada negara. Sebagai dalang yang mencintai seni dan keazaman yang tinggi untuk memartabatkan seni tradisi ini, nama Hamzah Awang Amat sewajarnya diangkat sebagai tokoh seni yang gemilang. Sesungguhnya, pendidikan yang tinggi bukan kayu pengukur tentang kearifan seseorang, malah kesungguhan dan kerajinan menimba ilmu dan menyebarkannya kepada orang lain mampu memartabatkan diri seseorang. Itulah Pak Dalang negara Malaysia, Hamzah Awang Amat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...