Sunday 22 September 2013

Pengenalan Wayang Kulit






Wayang Kulit merupakan sejenis teater tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara sebelum kedatangan pelbagai seni  hiburan dan persembahan moden yang kebanyakannya berasaskan media elektronik. Ia merupakan satu bentuk persembahan teater yang menggunakan prinsip cahaya dan bayang. Bayang-bayang daripada patung-patung kulit yang terdiri daripada pelbagai watak methologi dan khayalan dimainkan oleh seorang Dalang. Persembahan wayang kulit selalunya diiringi oleh satu kumpulan muzik paluan atau gamelan dan juga alat tiupan (serunai) atau alat bertali (rebab). Wayang Kulit dipersembahkan dalam upacara atau perayaan tertentu. Fungsi Wayang Kulit ini adalah sebagai medium hiburan dan kadangkala dikaitkan dengan unsur ritual yang terdapat dalam sesuatu masyarakat. Seni persembahan ini tersebar dan membentuk satu identiti tersendiri dalam sesebuah masyarakat. 

Asal usul wayang kulit telah banyak diperkatakan sebelum ini. Rata-rata berpendapat bahawa wayang kulit telah wujud di Indonesia sejak beberapa kurun lalu dan dibawa dari Indonesia serentak dengan proses penyebaran agama Hindu. Pendapat ini sukar dibuktikan sama ada benar atau tidak. Kalau pun benar, kebenaran ini mungkin dalam aspek-aspek tertentu sahaja. Tidak terdapat sebarang persamaan baik dari segi falsafah mahu pun dalam cara persembahan antara wayang kulit Jawa atau Melayu dengan tradisi teater India. Bukti yang konkrit pun tidak pernah dicatat secara pasti. Catatan yang ditemui hanya berupa pandangan dan pendapat yang diasaskan pada pergerakan sejarah semata-mata. Namun demikian cerita wayang kulit di Pulau Jawa, Bali atau Malaysia semuanya berasaskan pada dua hikayat Dewa-dewa, iaitu Mahabharata dan Ramayana. Begitu juga dengan persamaan istilah seperti wayang, dalang, panggung dan kelir.

Pengertian istilah wayang dalam bahasa Melayu ialah bayang-bayang yang bergerak ke sana ke mari. Dalang membawa erti orang yang melakukan persembahan wayang. Panggung pula membawa pengertian tempat berbumbung yang disekelilingnya tertutup dan digunakan untuk pertunjukan wayang.

Selain di Jawa dan Malaysia, wayang kulit juga terdapat di Bali, Kemboja dan China. Nama yang diberi kepada wayang kulit ini berbeza mengikut budaya dan bahasa setempat, walaupun fungsi dan asas persembahannya adalah sama. Di Thailand, wayang kulit dikenali sebagai Nang Yai, di Kemboja disebut dengan nama Nang Sbek manakal di Jawa digelar Wayang Purwa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...